Make your own free website on Tripod.com
 

UNIT PENYAKIT BAWAAN VEKTOR PEJABAT KESIHATAN DAERAH PENDANG

 

ANIS SABRINA DALAM KENANGAN 
(21 march 2002 – 24 November 2002)

      Anak kami Anis Sabrina, 8 bulan telah kembali ke rahmatullah pada 24 November 2002  pukul 6.30 pm di Katil No. 5,Unit Rawatan Rapi (PICU), Institut Pediatrik,HKL.
Anis Sabrina meninggal disebabkan serangan “Dengue Shock Syndrome”,atau pun denggi berdarah Grade IV,yang telah merosakkan keseluruhan organ didalam badan nya.Tetapi virus yang menyerang Anis ini baru ditemui dan pakar-pakar perubatan
tidak mengetahui punca sebenar virus ini samada disebabkan oleh gigitan nyamuk
aedes ataupun virus lain,melainkan secara kasarnya ianya hanyalah demam denggi yang dibawa oleh nyamuk Aedes.

     Tujuan saya menceritakan pengalaman benar ini adalah untuk peringatan kita semua dan juga ibubapa akan bahayanya Demam Denggi terutama terhadap kanak kanak dan bayi,kerana sehingga ke hari ini belum ditemui lagi vaksin untuk merawat penyakit denggi.Ikutilah pengalaman Anis Sabrina diserang denggi dan sehingga menghembuskan nafas terakhirnya dalam keadaan yang teramat sakit,menderita
dan pilu……….dan menyayat hati

     Peringkat demam denggi adalah dalam lingkungan 10 hari.4 hari yang pertama merupakan demam panas yang berpanjangan,masuk hari ke 5,demam panas akan hilang.Kebanyakan kita beranggapan,bila panas dah hilang,demam dah baik,sedang kan hakikatnya bagi demam denggi,hari ke 5 hingga ke 10 merupakan hari virus
denggi mula membiak.Sekiranya seseorang dapat bertahan hingga hari ke 10 tanpa menghadapi komplikasi lain insyaAllah akan selamat,tetapi jika sebaliknya,memang akan menjadi korban.Dan anak saya terkorban pada hari ke 11 demamnya.

    Walaupun melepasi tahap hari kritital 10 hari, namun virus telah menyerang keseluruhan organ dalamannya sehingga gagal berfungsi,menyebabkan Anis Sabrina tidak dapat diselamatkan dan saya terpaksa merelakan pemergiannya………………

Khamis 14 November 2002 Jam 4.30 pagi
(hari pertama)

    Seperti kebiasaanya Anis akan terbangun bila saya bangun untuk bersahur.Dan
pagi itu Anis macam biasa,ceria dan bermain-main…sehingga saya selesai bersahur ….kemudian selepas subuh Anis tertidur semula. Saya seperti biasa bersiap untuk
ke tempat kerja.dan ketika mahu mengangkat Anis keluar dari bilik lebih  kurang
pukul 7.45 pagi,saya dapati badan Anis sedikit panas.Saya telah berpesan kepada Pembantu Rumah untuk memberikan Anis ubat demam.Di pejabat hati saya resah.  Saya seperti menjangkakan yang Anis mungkin diserang denggi kerana di kawasan
ini banyak kes denggi.Petang saya kembali dari bekerja.Keadaan Anis masih panas. Saya terus membawa Anis ke Klinik untuk mendapatkan rawatan.Doktor mengatakan hanya demam biasa dan mengingatkan jika demam tidak baik sehingga hari Ahad, kembali semula ke Klinik untuk membuat ujian darah.Keadaan Anis tidak berubah, sekejap panas,sekejap hilang.Walaubagaimana pun Anis masih mahu minum susu
dan makan dan masih mahu bermain-main dengan abang dan kakaknya.

  Jumaat 15 November 2002
(hari ke 2)

    Keadaan Anis masih tidak berubah. Sementara saya pula mengalami demam.
Oleh kerana kurang sihat dan rasa tidak sedap hati,saya tidak ke pejabat disebabkan keadaan Anis dan diri saya yang demam.Tapi Alhamdulillah,menjelang petang,demam saya beransur hilang.Hanya Anis yang masih demam walaupun tidak sepanas semalam  Dan petang itu seluruh ahli keluarga suami saya mengadakan majlis berbuka puasa dan kesyukuran,kerana ibu mertua saya baru sembuh dari demam denggi.Tapi hati saya tetap risau mengenangkan keadaan Anis.Masa Anis banyak dihabiskan dengan tidur dan sekali-sekala mahu bermain-main.Keadaannya seperti tidak selesa,kerana
dia lebih suka berbaring di dalam buaian walaupun sebenarnya dia tidak tidur dan menangis apabila diangkat.

  Sabtu 16 November 2002
(hari ke 3)

    Badan Anis sedikit sejuk hari ini.Saya bersyukur,mungkin demam Anis dah sembuh. Saya tinggalkan dia dirumah dan pergi membeli barangan keperluan rumah.Tengahari Anis banyak tidur dan mula kurang makan.Saya buatkan bubur nasi dan sup.Dia makan dalam 3 –4  sudu,lepas tu tidur.Waktu ini Anis masih demam tetapi tidaklah sepanas semalam.Saya berdoa semoga demam Anis akan hilang dan sembuh seperti sediakala.

  Ahad 17 November 2002
(hari ke 4)

    Menjelang Subuh,suhu badan Anis naik lagi.Selepas Subuh saya bawa Anis ke klinik sekali lagi. Setibanya di Klinik,Doktor mencadangkan Anis dibawa ke HKL,kerana kalau ujian darah dibuat di Klinik,akan mengambil masa yang agak lama untuk tahu keputu sannya.Lagipun hari Ahad, makmal ujian tutup.Saya pun terus membawa Anis ke HKL, Unit Kecemasan.Keadaannya agak sedikit lemah tapi masih lagi boleh menyusu dan tertawa.

   Selepas membuat pemeriksaan,(pukul 9.45 a.m) Doktor menahan Anis di Wad, kerana disyakki menghidap denggi. Anis ditempatkan di Wad KK2, Bilik No. 1. Hati saya mula tidak tenteram melihatkan terlalu ramai kanak-kanak di wad itu yang diserang denggi. Setibanya di Wad, Doktor telah mengambil sample darah Anis untuk membuat ujian. Oleh kerana Anis masih terlalu kecil,  amat sukar untuk memasukkan jarum ke badannya untuk mengambil darah. Sehingga 5 – 6 kali mencuba baru berjaya. Kesian Anis, lebam-lebam tangannya.  Pukul  2.00pm, ujian darah diketahui, dan dari ujian berkenaan darah Anis tidak ada virus denggi. Saya bersyukur,tetapi Anis diletakkan dalam pemerhatian kerana  tanda-tanda denggi ada padanya seperti tidak lalu makan dan lemah badan.  Walaupun begitu, hati saya masih risau dan kuat mengatakan yang Anis dijangkiti denggi.

    Setiap 6 jam darah Anis diuji dan setiap kali itu saya menyaksikan Anis akan menangis kesakitan.Kesian Anis. Malam tu Anis asyik tidur dan langsung tidak mahu makan dan minum. Dia bergantung sepenuhnya pada drip air yang dimasukkan ke dalam badannya. Kencing Anis juga semakin berkurangan. Menjelang tengah malam Doktor memberitahu yang memang confirm Anis telah diserang denggi , berdasarkan ujian darah yang di buat petang tadi. Walaubagaimana pun masih diperingkat awal kerana bacaam ujian Platelette  menunjukkan bacaan 195(Normal antara 130 – 400), tetapi Anis diletakkan dalam pengawasan Doktor , kerana tidak mahu melarat.

  Isnin 18 November 2002
(hari ke 5)

    Keadaan Anis lemah, tapi masih boleh membuka mata dan bermain-main bila diagah.Susu langsung tak mahu,yang mahu hanya menghisap puting.Pukul 8.00 pagi darah Anis diambil lagi.Kali ini Doktor menyuntik lubang jarum baru kerana darah Anis terpaksa duji setiap 4 jam sekali.Sebelah tangan Anis disuntik jarum untuk memasuk kan drip air,dan sebelah lagi untuk mengambil darah.Tak sampai hati saya melihat keadan Anis ketika itu.

     Pukul 9.00 Doktor PG Lim,Pakar Kanak-Kanak membuat pemeriksaan ke atas Anis dan Doktor mendapati hati Anis sedikit bengkak.Doktor mengarahkan supaya Anis di X-Ray untuk melihat keadaan paru-parunya.Hati saya semakin bimbang,namun saya hanya mampu berdoa dan sambil berkata yang Anis hanya demam biasa.Semasa menunggu giliran untuk di X-Ray,jarum di tangan kanan Anis terbuka,menyebabkan darah keluar meleleh sehingga membasahi baju saya dan Anis,dan di atas lantai.Oleh kerana banyak darah yang mengalir,Anis kelihatan agak lemah.Hati saya hanya Allah yang tahu.Selepas di x-ray Anis lebih banyak menghabiskan masanya dengan tidur. Bila diangkat dia akan menangis.Didudukkan di atas katil,dia tak dapat bertahan.

     Pukul 4.00 petang Doktor membuat pemeriksaan sekali lagi dan doctor mengata kan yang  paru-paru Anis dimasuki sedikit air dan dijangkiti sedikit kuman.Hati Anis juga telah membengkak 4  cm.Doktor mengarah Anis dipindahkan ke bilik No. 7 untuk dibuat lebih kerap pemerhatian keatasnya.Pukul 4.30 pm Anis dipindah dan Doktor lebih kerap mengambil darah.Anis hanya tidur,dan tidak menangis.Menjelang waktu berbuka,Anis langsung tidak mahu membuka mata,dan saya hanya meneguk segelas air untuk berbuka puasa,kerana tekak ini rasa telah tersumbat untuk menerima sebarang makanan.Selepas solat Maghrib,saya cuba menitiskan sedikit air ke mulut Anis menggunakan syringe ubat. Namun Anis meluahkan balik. 

     Pada pukul 7.30 malam saya cuba untuk mendudukkan Anis,tapi alangkah terkejut nya,Anis tiba-tiba muntah darah yang berwarna kehitam-hitaman.Saya menjadi ter amat panik.Saya menjerit memanggil jururawat dan doctor dan menelefon suami. Suami saya dalam perjalanan ke hospital.Saya serasa hampir pitam melihatkan keadaan Anis.Setibanya  suami dihospital,saya terus menyuruhnya memegang Anis, kerana saya tidak sangup melihat keadaannya.Selepas tu Anis muntah lagi dengan meluahkan darah seperti tadi,malahan kali ini lebih banyak lagi sehingga membasahi baju dan juga cadar katil.Keadaannya semakin lemah.Tidak sampai 5 minit,Anis muntah darah lagi.Doktor membuat keputusan untuk memindahkan Anis ke PHDW (Pediatrik High Dependency Wad) atau semi ICU. Semasa dibawa Anis masih menangis lagi dan setibanya di PHDW,Doktor telah memasukkan segala macam tiub di badan Anis.Ujian Plattelette juga didapati semakin menurun iaitu 55.Doktor mencucuk lagi lengan kecil Anis untuk mencari salur darah yang baru,kerana yang sediada telah tersumbat.Anis menangis dengan kuat,dan saya berlari keluar kerana tidak sampai hati melihat keadan Anis.Kalaulah saya tahu yang itulah mungkin kali terakhir saya boleh mendengar  tangisan Anis, mungkin saya akan tunggu Anis.Selesai semua tiub di masukkan ke tubuh Anis,sel darah kuning (Platelette) dimasukkan ke dalam badan Anis,untuk membantu menambahkan sel darah kuning,bagi melawan virus tersebut, kerana hati Anis tidak berfungsi untuk menghasilkan sel-sel darah.

    Pukul 12.00 malam Doktor memberitahu keadaannya kritikal tapi agak stabil, dengan bacaan platelette hanya tinggal 29.Walaubagaimanapun menurut Doktor mungkin keadaan Anis akan berubah jika badannya dapat menerima sel darah kuning yang dibekalkan,dan mungkin dapat dipindahkan ke wad biasa.

  Selasa 19 November 2002
(hari ke 6)

     Pukul 6.00 pagi, saya melihat Anis tidur sambil menghisap puting.Memang sepan jang masa di hospital Anis tidak boleh berenggang dengan putingnya.Suami pulang ke rumah kerana menyangkakan Anis semakin baik.Tetapi alangkan terkejutnya saya apabila Doktor memberitahu yang Anis terpaksa dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami masalah pernafasan dan juga Platelette yang semakin menurun iaitu 16,disamping hati yang mula kurang berfungsi dan semakin membengkak sehingga 9cm.Tahap ini amat kritikal kerana ia akan menyebabkan pendarahan pada otak.Bantuan pernafasan yang diberikan tidak berkesan,kerana bila Anis terjaga dari tidur dia akan cuba mencabut semua wayar dan tiub dibadannya,jadi Doktor mahu memasukkannya ke dalam ICU dan memberikan ubat tidur supaya dia tidak meng  ganggu segala macam alat yang dipasang ke dalam badannya.Saya menelefon suami, yang ketika itu baru sampai dirumah,dan dia bergegas semula ke Hospital.

     Pukul 8.30 am.,Anis dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (PICU) HKL.Saya hanya menghantarnya ke muka pintu, kerana Doktor tidak membenarkan ibubapa berada di dalam semasa Doktor membuat rawatan.Saya terdengar tangisan Anis (yang rupanya kali terakhir dapat didengar).Saya menanti di luar ICU dengan keadaan yang amat tertekan sekali.Kerana saya dapat tahu, pada pukul 7.00 am.sebelum Anis dipindahkan ke ICU,seorang kanak-kanak berumur 9 tahun meninggal dunia kerana  masalah yang sama macam Anis,dan kebetulan Anis ditempatkan di katil yang sama dengannya. Namun sokongan ahli keluarga dan juga jururawat serta Doktor telah menguatkan semangat saya untuk melalui saat-saat getir ini.Hanya doa yang dapat saya lakukan untuk menolong Anis.Hampir 3.5 jam menunggu,Doktor masih belum selesai menjalan kan kerja-kerjanya.Kaum keluarga, sahabat-handai ramai mengerumuni ICU untuk melihat perkembangan Anis.

      Pukul 1.00 tengahari,Doktor keluar dari unit ICU dan menemui saya dan suami, untuk memberitahu perkembangan Anis.Doktor memberitahu yang Anis telah “ditidur kan” dengan ubat tidur,dan pernafasan Anis diambil alih sepenuhnya oleh mesin dan komputer.Kami dibenarkan melawat Anis.Hampir pengsan saya melihat keadan Anis. Dengan hanya memakai “diapers”,tiub dan wayar berselirat ditubuhnya dan saluran pernafasan dimasukkan ke dalam mulutnya.Satu tiub lagi dipasangkan di hidungnya untuk mengeluarkan darah dari dalam badannya.Saya melihat paha di celah kelengkang Anis juga lebam-lebam kerana kesan cucukan jarum.Kerana kesukaran untuk mendapatkan urat darah Anis,darah terpaksa diambil dari celah paha Anis.  Doktor memberitahu kami yang Anis mengalami masalah saluran darah yang bocor, iaitu oleh kerana terlalu banyak air yang dimasukkan ke dalam badannya dan Anis tidak boleh kencing menyebabkan saluran darah yang ada tidak dapat menampung air yang ada di dalam badan Anis sehingga berlaku kebocoran,dan air itu telah memenuhi keseluruhan ruang perut,hati,paru-paru.Ditambah lagi dengan keadaan buah pinggang Anis yang sudah tidak berfungsi menyebabkan dia tidak boleh kencing sehingga menyebabkan badan Anis mengembang seperti belon.Walaubagaimana pun saya lihat Anis seperti tidur.Mukanya bersih seolah-olah dia tak sakit.Kesian Anis,dalam usia semudanya dia terpaksa berhadapan dengan kesakitan.

  Rabu 20 November 2002
(hari Ke7)

     Saya telah berkampung di HKL sejak hari pertama Anis dimasukkan ke sini.Pukul 8.30 pagi Doktor menemui saya,dan memberitahu keadaan Anis.Anis dalam keadaan amat tenat kerana kandungan air dalam badannya terlalu banyak.Anis tidak boleh kencing secara normal kerana buah pinggang Anis telah rosak.Di samping itu hati Anis semakin membengkak,dan paru-parunya dipenuhi air dan darah.Doktor juga menerang kan yang salur darah Anis telah bocor menyebabkan air telah meresap ke seluruh organ di dalam badannya.Ya Allah..tabahkanlah hati saya.Oleh kerana kedua-dua buah pinggang Anis telah rosak maka proses perkumuhan tidak dapat dilakukan secara semulajadi. Doktor mungkin akan menebuk perut Anis untuk mengeluarkan kandungan air dibadannya untuk mengelakkan keracunan.Apalagi yang saya boleh lakukan melainkan menyerahkan pada kebijaksanaan Doktor dan berdoa kepada Allah.

     Pukul 10.30 pagi Dr Selva,pakar Urologi (Buah Pinggang) memanggil saya dan suami.Doktor meminta keizinan dari kami untuk melakukan sedikit pembedahan dengan menebuk perut Anis.Doktor berkata tiada cara lain lagi.Cecair perkumuhan dalam badan Anis perlu dikeluarkan sebelum rawatan  yang lain boleh dilakukan.Apa lagi yang boleh saya dan suami lakukan, melainkan menandatangani surat kebenaran.Proses mengeluarkan air dari badan ini sama seperti proses “Homodialysis” bagi pesakit buah pinggang.Cuma bezanya dia dipanggil Pectorial Dialysis (PD),dan ia hanya untuk mengeluarkan air kencing dan bukannya mencuci darah.Prosesnya adalah dengan memasukkan berliter-liter air ke badan Anis,membiarkannya selama 5 minit dan mengeluarkannya semula.Semasa proses mengeluarkan air ini,dia akan menyedut sama air kencing dari badan Anis.Kemudaian air akan diasingkan,iaitu air yang dimasukkan tadi akan ditadah di dalam baldi,dan air kencing Anis yang disedut keluar akan di sukat untuk mengetahui berapa banyak yang berjaya disedut keluar.Badan Anis jua kelihatan semakin membengkak.Tentu anda semua dapat bayangkan,andainya terlalu banyak air yang dimasukkan ke dalam badan,tetapi tidak ada yang keluar tentu badan anak membengkak seperti belon.Itulah yang terjadi kepada Anis.Sementara itu darah merah dan kuning(platelette) telah berpaket-paket dimasukkan ke badan badan Anis , namun semuanya tiada tindak balas.Bacaan Platelette juga semakin turun naik.Tidak ada sebarang improvement pada diri Anis,malahan semakin teruk lagi.

  Khamis 21 November 2002
(hari ke 8)

     Keadaan Anis tidak berubah,dan amat kritikal.Doktor hanya meneruskan rawatan yang sama.Oleh kerana denggi tiada vaksin,rawatan hanya berdasarkan pemerhatian sahaja.Pada ketika ini nyawa Anis memang bergantung sepenuhnya pada mesin.Jika bacaan mesin menunjukkann Anis kekurangan darah merah,Doktor akan memasukkan darah merah,kalau kekurangan platelette,Doktor akan masukkannya,kalau kurang air, tambah lagi,kalau kurang oksigen,tambah lagi bekalan oksigen.Begitulah keadaan Anis.  Sehingga anak saya yang dahulunya putih gebu,kini telah membengkak,dan sedikit kehitaman.

     Sehingga pada suatu ketika berlaku pendarahan dari mulut,dan hidung Anis, darah bercampur lendir dan berbuih-buih.Saya teramat sebak.Sampai pada satu tahap badan Anis tidak dapat menampung darah yang dibekalkan padanya,pada masa ini berlaku pendarahan dari hidungnya.Doktor memberitahu,ini kerana bekalan darah telah overload sehingga ia membuak keluar.Tetapi bekalan darah tak dapat dihentikan, kerana hati Anis telah rosak dan tidak dapat berfungsi untuk menghasilkan sel-sel darah,Jadi Anis bergantung sepenuhnya pada bekalan darah.Pemantauan ke atas Anis lebih rapi lagi dengan setiap 2 jam dibuat ujian darah dan bermacam-macam ujian lagi.  Badan Anis juga mula kuning kerana hatinya tidak berfungsi lagi.

      Petang ini lebih kurang pukul 6.00 sedang saya duduk di hadapan ICU,saya telah menyaksikan 2 kematian.Mayat 2 orang sedang ditolak di hadapan mata saya.Dan saya tahu salah seorang dari mereka meninggal dunia kerana serangan denggi.Hati saya mula berdebar,adakah saat untuk Anis akan tiba jua.Ini kerana sepanjang saya berkampung di HKL sehingga hari ini, saya telah menyaksikan 3 kematian kanak-kanak kerana denggi.Saya hanya berdoa semoga akan selamat dan sembuh seperti sediakala,walaupun memang saya tahu saya akan pasti melalui saat seperti itu jua.

  Jumaat 22 November 2002
(hari ke 9)

     Keadaan Anis bertambah tenat.Pukul 2.00 petang Doktor memanggil saya dan suami untuk menerangkan keadaan Anis.Consultant Dr Hung,Paeditrician Dr PG Lim,Dr Zamani,Dr Siti Aishah dan Dr Ismail telah menerangkan yang keadaan Anis semakin tenat dan peluang untuknya sembuh adalah teramat nipis.

     Ya Allah inilah dugaan yang paling hebat saya terima.Ini adalah kerana semua organ didalam badanya telah rosak dan tidak dapat berfungsi.Kedua-dua buah pinggangnya rosak,hatinya bengkak,paru-parunya berair dan berdarah serta dijangkiti kuman,tekanan darahnya rendah,pendarahan dalaman berlaku di sana sini dan boleh dilihat secara luaran melalui hidung dan mulut,badannya semakin mengembang, kekuningan dan agak sedikit kehitaman.Saya bertanya kepada Doktor,oleh kerana keadaannya yang sedemikian,adakah Doktor akan meneruskan rawatan (pada saya penyiksaan) kepadanya,Doktor berkata mengikut peraturan Doktor tidak boleh menghentikan rawatan ke atas pesakit sehingga pesakit itu pergi dengan sendirinya. Keadaan saya amat tertekan sehingga saya langsung tidak menjamah sebarang makanan melainkan minum air selama berhari-hari,namun peliknya saya berasa kuat walaupun tidak mengambil sebarang makanan.

  Sabtu 23 November 2002
(hari ke 10)

     Sepatutnya hari ini Anis telah melepasi tahap kritikal demamnya.Tapi apakan daya oleh kerana berlaku terlalu banyak komplikasi dalam badannya,keadaan sebaliknya yang berlaku.Pada tahap ini masalah denggi tidak ada lagi,yang tinggal hanyalah komplikasi-komplikasi terhadap organ dalamannya.Pada hari ini Doktor menemui saya lagi dan memberitahu yang Anis semakin tenat dan peluangnya amat nipis.Sekarang ini tekanan darahnya terlalu rendah sehingga jantungnya terpaksa dibantu dengan 5 jenis ubat untuk menguatkannya.Sistem badan Anis juga terlalu lemah kerana darah nya kekurangan oksigen.Oksigen tidak boleh dibekalkan terlalu banyak kerana paru-paru Anis tidak dapat berfungsi dengan baik dan jika dibekalkan juga oksigen maka akan berlaku kemungkinan paru-paru Anis akan pecah.Untuk mengelakkan ini berlaku Doktor membuat pemantauan yang rapi dengan membekalkan darah sedikit demi sedikit dan mengawal pendarahan dari berlaku.Semasa sample darah diambil,warna darah dari badan Anis berwarna kehitaman akibat kekurangan oksigen.Keadaan memang amat kritikal sekali.

      Melihatkan keadaan Anis memang saya teramat sedih,dan hampir hilang akal. Tetapi setelah saya berfikir kembali,jika ini hanya merupakan suatu penyiksaan terhadap Anis,saya redha…saya merelakan dia pergi..tapi Doktor kata jangan mudah nmeyerah kalah,selagi ada jalan akan dicuba untuk menyelamatkan Anis.Malam selepas solat maghrib,jururawat meminta saya tidak pergi kemana-mana kerana mungkin masa Anis hampir tiba.Saya cuba kuatkan hati dengan membaca surah yasin dan ayat-ayat Al Quran di telinga Anis disamping memberikan kata-kata semangat pada Anis.Walaupin Anis tidak sedar,tetapi naluri keibuan saya tahu yang Anis men dengar apa yang saya katakan padanya.Saya habiskan banyak masa dengan Anis sepanjang hari ini sehingga tengah malam,saya tidak dibenarkan berada di dalam ICU, kerana ketika itu Unit ICU sibuk dengan berita pemisahan kembar siam Azami dan Azama.Oleh kerana itu keadan di ICU agak sibuk dan saya mengambil keputusan menunggu di luar sahaja.

  Ahad 24 November 2002
(hari ke 11)

      Selepas subuh saya balik ke rumah sebentar untuk menukar pakaian dan meng ambil 2 lagi anak saya.Kemudian saya terus bergegas semula ke HKL.Sejak pagi ini, keadaan Anis teramat tenat dengan hidupnya bergantung sepenuhnya pada ubat yang menguatkan jantungnya.Saya meminta keizinan pada Doktor untuk memberi peluang anak saya yang lain iaitu Zikry,5 dan Zulaikha,3 untuk melihat adik mereka buat kali yang terakhir. Ini kerana sejak seminggu yang lalu,Iky dan Ika tak dapat nak lihat adiknya,kerana kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke dalam ICU.Sebak melihat kan kedua anak saya melihat keadaan adik mereka,kerana saya selalu berkata yang adiknya di hospital untuk baik,tetapi sebaliknya yang berlaku.Oleh kerana saya tahu hari ini mungkin hari terakhir Anis,saya tak mahu berganjak dari tepi katil Anis sambil mebacakan surah Yasin dan bercakap-cakap dengannya.Kulit Anis semakin kehitaman. 

    Pukul 2.00 petang saya semakin tidak sanggup melihat keadaan Anis,dan memohon jururawat menhentikan ubat-ubatan keatas Anis.Jururawat tidak berani membuat keputusan, kerana Doktor tak ada.Tidak lama Doktor datang dan saya merayu supaya dihentikan saja ubat ke dalam badanya kerana melihatkan keadaanya yang semakin membiru dan kehitaman.Andainya sudah ditakdirkan sampai disini saja Anis dipinjamkan kepada saya,saya redha dan relakan permegian Anis.Saya mahu Anis pergi dengan tenang. Doktor memanggil suami saya untuk mendapatkan pengesahan kebenaran dan akhirnya satu demi satu ubat untuk penyambung hayat di badan Anis dihentikan. Doktor tidak membuangnya secara serentak kerana tidak mahu saya terkejut dengan pemergian Anis.Jadi doktor menghentikannya satu persatu melain ubat tidur. Dia bertanya kepada saya,samada saya mahu melihat dia pergi dalam sedar atau tidak. 

    Walaupun sebenarnya saya ingin melihat Anis membuka mata buat kali terakhir, tapi apabila Doktor mengatakan jika ubat tidurnya dihentikan,dia mungkin akan tersedar tetapi akan menanggung kesakitan yang amat sangat tetapi tidak boleh melihat dan memberi respon apa yang diberikan,saya mengambil keputusan untuk tidak menghentikan ubat tidur padanya.Walaupun kesemua ubat telah ditanggalkan, tetapi dia tetap akan mengambil masa yang lama untuk Anis mengakhiri hayatnya, Menurut Doktor mungkin Anis akan nazak sekitar 2-3 jam lagi.Terus terang saya katakan saya tak sanggup lagi melihat Anis begitu.Kalau boleh saya mahu dia cepat menghabiskan hayatnya.Bukannya saya mendoakan dia pergi,tapi melihatkan pada keadaannya,jikalau anda semua berada ditempat saya,pasti anda juga akan melakukan apa yang saya lakukan.

     Mujur tidak lama selepas itu muncul Dr Abd. Halim.Melihatkan pada keadaan Anis, dia lantas memanggil saya dan suami dekat di kepala Anis,dan meminta jururawat mengangkat Anis ke pangkuan saya untuk Anis menghabiskan hayatnya.Dan dengan perlahan-lahan Doktor mencabut satu persatu penyambung hayat Anis.Saya peluk badan Anis,saya bisikkan ayat-ayat suci kepadanya.Saya katakan padanya yang…mama dan ayah redha dengan pemergian Anis….pergilah sayang…mama dan ayah relakan Anis pergi…pergilah dengan tenang Anis..jangan takut…Anis pergi dulu..nanti Anis tunggu mama, ayah, Iky dan Ika di akhirat.Mama relakan Anis pergi, pergilah sayang, jangan takut Anis,sekejap saja lagi akan selesai melalui semua penyiksaan yang menyakitkan ini. Anis akan tenang di sana.

   ASYYHADU ALLA ILAHA ILALLAH WAASY HADU ANNA MUHAMMADUR RASULULLAH

Berulang kali saya bisikkan kalimah syahadah ke telinga Anis,dan dia seolah mengikut kata-kata saya.Saya seakan tidak mahu melepaskan Anis.Serasa seolah seperti saya sedang memeluk Anis seperti selalu.Semua yang menyaksikan saat-saat nazak Anis mengalirkan air mata,apatah lagi saya dan suami,namun saya sedar mengalir airmata darah sekalipun tidak akan mengembalikan Anis Sabrina saya. 

     Ketika monitor yang menunjukkan nyawa Anis hampir sampai keakhirnya,ayah saya iaitu datuk Anis baru tiba dari kampong.Dan sebaik saja datuknya mengucupnya,Anis Sabrina pun pergi dengan tenang menghadap ilahi.Saya masih tidak percaya yang Anis telah pergi dan apabila saya melihat monitor,barulah saya pasti yang anak saya ANIS SABRINA telah kembali kepadanya dengan keadaan yang menyayat hati.Anis mengakhiri hayatnya di pangkuan saya…Anis….Anis…Anis…selamat jalan sayang…masa Anis telah sampai.Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali….Saya masih memeluk Anis dengan erat,saya seolah tidak mahu melepaskan Anis,sehingga ditenangkan oleh Doktor,jururawat dan keluarga,barulah akhirnya saya dengan berat hati meletakkan Anis semula di atas katil.

                       INNA LILLAHI WAINNA ILAIHIROJIUNNNNNN

      Anak saya Anis Sabrina telah pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya.Buat yang menyaksikan Anis menghembuskan nafasnya,pasti tidak dapat menahan sebak. Selamat Anis….tenanglah Anis disana.Saya tenung wajah Anis,saya rasakan seolah Anis senyum kepada saya,walaupun dalam keadaan wajah yang menyedihkan dengan bibir berdarah,darah keluar melalui hidung,kesan kehitaman,biru lebam,namun Anis tetap bersih dan cantik dimata saya.Dia seolah berkata dan memohon supaya saya tidak bersedih dengan pemergiannya.Anis pergi dengan disaksikan ahli keluarga saya dan suami,datuknya,cik gee,cik som,cik lah,cik rin,cik mah,cik nor,cik yin,mak lang, mak ngah,pak ngah,cik wan,radzwan,ina,zek,hafiz,cik enal,cik shah,jururawat dan Doktor yang ada disekeliling Anis.Anis pergi menghadap Illahi tepat pukul 6.30 petang dalam hujan renyai-renyai.

       Selamat Tinggal Anak Mama ANIS SABRINA.Mama sentiasa sayang dan tetap mengingati Anis sehingga ke akhir hayat mama dan semoga kita dipertemukan disana.  ANIS SABRINA tetap kekal dalam ingatan mama,ayah,Iky,Ika dan semua saudara mara.Mungkin ketika itu Anis telah mendapat ketenangan dan tidak merasakan kesakitan seperti sebelumnya.Ini dapat saya lihat dari keadaan wajah Anis yang cukup tenang,cantik dan teramat comel,berbeza sewaktu sedang tenat.Mungkin ini juga kerana saya telah merelakan dia pergi,kerana sebelum ini saya seperti tidak mahu kehilangannya,namun apabila difikirkan buat apa saya menyiksanya dan saya berdoa semoga dipercepatkan masa untuk Anis bertemu Penciptanya.Selamat tinggal anak mama.Mungkin selama ini Anis menunggu keizinan dan kerelaan dari saya ibunya untuk meninggalkan dunia ini. Pergilah Anis……….

       Jenazah Anis dibawa pulang kerumah lebih kurang pukul 9.30 malam. Malam itu merupakan malam terakhir Anis tidur di rumah di atas katil Anis.Mungkin kuasa Allah, walaupun sewaktu nazaknya badannya hampir semua kehitaman,sebaik sampai ke rumah dan dibaringkan di katilnya,lama kelamaan kulitnya kembali seperi biasa.Malah saya lihat Anis seperti tidur dengan nyenyaknya.Saya sentiasa disisi Anis sepanjang malam.Semua yang datang melihat jenazah Anis mengatakan Anis cantik,tidur dan terlalu comel.Anak saya Iky dan Ika sukar untuk menerima kenyataan yang adiknya telah pergi.Sepanjang malam Iky di sisi adiknya dan terlena di sisi jenazah adiknya. Dan dia tak henti-henti merenung adiknya sehingga tak bagi saya menutup wajah jenazahnya.Bertambah sedih bila dia bertanya berapa lama Anis nak mati…bila dia nak hidup balik…dan kenapa mama tak bawa adik ke klinik untuk bagi adik hidup.

       Sepanjang malam saya berjaga menemani Anis.Sesekali darah masih keluar melalui hidung dan mulut Anis,dan setiap kali itu saya akan membersihkannya menggunakan kapas,darah Anis tidak boleh membeku,kerana selnya telah rosak.Seluruh ahli keluarga juga berjaga.Saya seolah-olah takut untuk menanti waktu siang,kerana tidak sanggup rasanya  berpisah dengan Anis.Saya rasakan masa terlalu cepat berlalu sehingga waktu sahur,saya tidak lalu menjamah sebarang makanan,kerana saya tahu masanya semakin hampir untuk Anis disemadikan.Kalaulah masa boleh berulang,sudah pasti saya mahu menghabiskan seluruh masa saya untuk Anis.Tapi apakan daya…

  Isnin 25 November 2002

        Selesai solat Subuh, saya mengangkat jenazah Anis ke pangkuan saya.Saya ingin memeluk Anis buat kali yang terakhir.Semua yang menyaksikan peristiwa itu turut mengalirkan air mata.Saya riba jenazah Anis,saya peluk Anis,saya cium Anis, baunya sungguh wangi,walaupun kesan terdapat darah masih mengalir,namun bau Anis tetap sedap dicium.Jenazah Anis masih di ribaan saya sehinggalah ramai tetamu datang,dan saya diminta untuk meletakkan kembali Anis ke atas katil.Beratnya rasa hati saya.Ya Allah tabahkanlah hati hamba mu ini…..Anis…Anis…Anis….

       Pukul 9.00 pagi jenazah Anis dimandikan.Saya,suami,ditemani ustazah telah memandikan Anis buat kali yang terakhir.Terasa badannya amat lembut,seolah-olah sedang tidur,dan berbau wangi.Kesian Anis,ada bahagian anggota badannya yang membengkak dan lebam-lebam.Sewaktu sedang dimandikan,badannya darah masih mengalir melalui hidung dan mulut.Ini kerana pembeku darah dalam badan Anis tidak ada.Jadi darah masih tetap mengalir.Sewaktu saya membersihkan mulut Anis,dan membuka mulut Anis,Ya Allah,darah cair kehitaman memenuhi mulut Anis,disaat itu saya melihat gigi Anis 2 batang yang baru mula tumbuh.Saya tabahkan hati untuk tidak mengalirkan air mata,kerana ustazah telah berpesan kepada saya,jangan menangis hingga mengalirkan air mata di atas jenazah.Ini adalah kali teakhir saya dapat memandikan Anis,selalunya memang diwaktu begini Anis akan bangun tidur dan memandikannya.Tapi hari ini adalah kali terakhir Anis akan mandi di rumah saya. Saya juga telah mengkafankan jenazah anak saya bersama suami dengan tunjuk ajar ustazah….Ya Allah saat untuk berpisah dengan Anis semakin hampir….saya yang tadinya agak tenang,akhirnya tidak dapat menahan sebak….melihat Anis dimasukkan ke dalam kenderaan menuju ke tempat persemadian..

         Pukul 11.00 pagi setelah disembahyangkan,jenazah Anis selamat di semadikan  di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas,Ampang.Saya turut mengiringi jenazah Anis ke perkuburan.Suami saya merupakan orang yang  terakhir memegang Anis …kerana dia yang telah membaringkan Anis di liang lahad.Sebelum ini saya telah meminta supaya pusara Anis dipilih di sebelah depan, supaya senang untuk kami melawatnya…dan syukur pusara Anis terletak betul-betul di tepi pagar tanah perkuburan,dan kebetulan tanah perkuburan berhampiran dengan pasar yang selalu saya kunjungi. Insyaallah Anis,mama akan selalu mengunjungi pusara Anis.Semadilah ANIS SABRINA dengan tenang.Mama,Ayah,Iky dan Ika akan selalu datang melawat Anis.Mungkin disaat ini Anis sedang bahagia bertemu yang menciptanya.Anis Sabrina pergi dengan meninggal kan mama,ayah,Iky,Ika,kakak,dan seluruh ahli keluarga….semuanya merasakan kehilangan Anis

      Selesai pengkebumian Anis ,saya rasakan rumah saya kosong dengan pemergian Anis,dan disaat itu juga suami telah membuka katil Anis dan menyimpannya kerana tak sanggup melihat katil dan buaian Anis kosong tanpa penghuni.Saya seakan tidak selesa dan tidak sanggup untuk tinggal dirumah kerana dimana-mana saya ternampak Anis merangkak-rangkak mengejar saya bila saya lalu lalang,Anis akan menerpa ke pintu bila saya pulang dari bekerja dan segala-galanya tentang Anis sentiasa terbayang di depan mata saya.Anis oh Anis macamana mama nak lalui ini semua tanpa Anis….bukan saja mama tapi seluruh yang mengenali Anis.

Sedekahlah AL-FATIHAH…….untuk Anis Sabrina.

      Begitulah kesudahannya serangan “Dengue Shock Syndrome” ke atas anak saya. Semuanya berlalu dengan terlalu pantas dan seperti bermimpi.Selama 11 hari Anis melalui saat-saat derita untuk menemui Ilahi.3 hari dirumah,1 hari di wad KK2,1 hari di PHDW dan 6 Hari di ICU dan untuk seterusnya Anis akan tinggal di suatu tempat yang amat indah sekali…. Amin…… Terlalu cepat Anis pergi..baru semalam rasanya mama berjuang untuk melahirkan Anis ke dunia ini….dan mama tidak sempat untuk melihat kau membesar nak…..Ayah teramat sedih sayang,sehingga untuk menyebut nama Anis pun tidak terkeluar…..

     Hilanglah seorang permata hati saya yang menjadi korban kerana seekor NYAMUK AEDES.Untuk mengelakkan lebih ramai lagi kanak-kanak seperti Anis menjadi mangsa, saya dan suami telah memberi kebenaran kepada Doktor untuk mengambil sedikit tisu hati,air tulang belakang dan darah Anis untuk dibuat  ujikaji.Ini kerana “Dengue Shock Syndrome “ yang menyerang Anis adalah sejenis virus yang baru tidak seperti virus denggi sebelum ini yang hanya menyerang sel darah seseorang. Tetapi “Dengue Shock Syndrome” yang dialami oleh Anis teleh menyerang keseluriuhan organ dalaman badan Anis dan menyebabkan pendarahan yang banyak. Menurut Doktor mereka sedang membuat kajian mengenai virus ini. Oleh kerana itulah Doktor ingin mendapat kan sample dari tubuh Anis untuk mengkaji,virus apakah yang sebenarnya telah mengorbankan Anis.

        Sebelum ini ada seorang pesakit yang berjaya dirawat dengan kaedah yang sama digunakan ke atas Anis.Dan anak itu selamat hidup sehingga kini setelah terlantar 14 hari di ICU.Doktor ingin mndapatkan sedikit tisu organ badannya untuk dibuat kajian apakah yang sebenarnya yang dapat menyelamatkan pesakit ini.Tetapi malangnya kedua ibubapanya enggan memberikan kerjasama dengan tidak memberikan kebenaran Doktor berbuat demikian.Maka doctor tidak dapat mengesan apakah sebenarnya antibodi yang telah menyelamatkan nyawa anaknya.Bagi saya kalaulah dengan mengambil sedikit sample dari tubuh Anis,Doktor boleh menjalankan kajian dan seterusnya dapat mencari vaksin untuk merawat penyakit ini,saya merasa bangga sekurang kurang seorang anak saya terkorban tetapi ramai lagi kanak-kanak lain yang dapat diselamatkan.Wallahua’lam..

Peringatan buat semua ibubapa.Jika anak anda demam melebihi sehari bawalah terus ke hospital.Begitulah bahayanya penyakit denggi.Hanya kerana seekor nyamuk Aedes ,anak saya terkorban.Nyamuk Aedes menyerang pada waktu pagi dan hampir senja.Berhati-hatilah.Aedes juga tidak membiak ditempat yang kotor, tetapi di tempat yang bersih.Walaupun pengalaman ini pahit dan sukar untuk diterima namun saya terpaksa meneruskan kehidupan ini kerana yang pergi tetap pergi tapi saya masih ada 2 orang anak lagi yang perlu diberikan perhatian.Semoga pengalaman saya ini boleh dijadikan panduan pada anda semua.

Saya juga berterima kasih terutama kepada kakitangan Unit Rawatan Rapi (PICU),Institut Pediatrik,Hospital Kuala Lumpur yang telah bertungkus lumus menyela matkan nyawa anak saya,Wad KK2 dan PHDW.Mereka telah berusaha ber sungguh-sungguh,namun Allah lebih menyayangi ANIS SABRINA.Dia telah dipinjamkan kepada saya selama 8 bulan sahaja.Saya puas kerana dapat menghabis kan masa dihujung-hujung hayatnya.Selamat Jalan anak mama,ANIS SABRINA(yang bermakna “teman setia dan sabar)…

Namun apa yang saya kesalkan sehingga Anis menghembuskan nafasnya,tidak pernah pun pihak berkuasa menjalankan semburan (fogging) dikawasan ini.Jika adapun hanyalah di’main road’ sahaja walaupun memang diketahui kawasan ini memang telah banyak kes denggi dan kempen mengenai penyakit denggi tidak dijalankan secara besar-besaran seperti penyakit lain,sedangkan penyakit ini mengambil masa yang teramat cepat untuk membunuh seseorang.Inilah yang saya kesalkan.Jika penyakit lain contohnya HIV atau kanser,sekurang-kurangnya ia mengambil masa yang lama tetapi denggi hanya dalam masa beberapa hari sahaja kita akan kehilangan orang tersayang.Sedangkan kedua-dua penyakit ini dibuat kempen secara besar- besaran, tak apalah mungkin kes seperti kes Anis ini kes terpinggir dan belum sampai ke tahap bahaya pada fikiran mereka.Kalau anda semua tidak percaya,pergilah ke Institut Paedetrik HKL,berapa ramai kanak-kanak yang diserang denggi sehingga memenuhi semua katil disitu.

Akhir sekali berhati-hatilah,kita tak tahu dalam beribu ekor nyamuk yang mengigit kita,ada seekor yang membawa virus denggi.Aedes hanya membiak ditempat yang bersih,aedes tidak membiak ditempat yang kotor.Jadi dimanakah tempat yang selamat untuk kita semua….mungkin tempat tinggal Anis sekarang ini yang paling selamat….